Monday 15 December 2014

Kesedaran Dan Bahaya Kanser Usus...^^..

Kesedaran Dan Bahaya Kanser Usus...^^..

Kanser usus atau kolorektal semakin bertambah jumlahnya dalam
kalangan penduduk Malaysia. Menurut Daftar Kanser Kebangsaan
Malaysia (NCR) pada 2007, kanser usus adalah kanser kedua
tertinggi insiden di Malaysia selepas kanser payudara.

Semakin ramai mendapat penyakit ini, terutama golongan lebih
muda, kerana gaya hidup tidak sihat, termasuk masalah
kegemukan, kurang aktiviti fizikal, merokok dan pemakanan
tidak sihat. Pemakanan faktor terpenting mencegah kanser usus.

Satu kajian dijalankan di Eropah selama 12 tahun menunjukkan
enam gaya hidup yang meningkatkan risiko kanser usus adalah
kegemukan, perut buncit, kurang aktiviti fizikal, merokok,
minum minuman beralkohol dan makan makanan proses.

Untuk mengurangkan risiko kanser usus, pakar mencadangkan
beberapa langkah boleh kita amalkan. Amalkan pemakanan
seimbang dan sihat mengandungi buah-buahan, sayur-sayuran,
kekacang, biji-bijian dan makanan berserat tinggi seperti oat,
beras perang.

Sayuran seperti brokoli, kobis, bunga kobis dan taugeh sangat
baik dimakan selalu untuk mencegah kanser usus. Kurangkan
makan daging merah seperti daging lembu dan kambing. Masak
daging dengan suhu tinggi seperti menggoreng, memanggang
hingga hitam atau barbeku boleh meningkatkan risiko kanser
usus kerana penghasilan bahan dipanggil AGE (advance glycation
endproduct).

Kaedah lebih sihat adalah memasak dengan suhu rendah dan
berkuah. Makan lebih banyak ikan yang kaya dengan Omega 3
didapati boleh mengurangkan risiko kanser usus. Di samping
itu, makanan yang kaya dengan probiotik seperti dadih
(yogurt), minuman susu kultur, makanan diperam seperti budu,
cencalok dan belacan juga membantu mencegah kanser usus.

Ambil makanan mengandungi asid folik yang tinggi, termasuk
sayur-sayuran hijau seperti kangkung dan bayam, sangat baik
untuk mencegah kanser usus. Buah-buahan limau citrus seperti
limau nipis, lemon, oren dan limau bali juga kaya dengan asid
folik.

Kajian menunjukkan pemakanan yang kaya dengan asid folik boleh
mencegah kanser usus. Ambil makanan yang tinggi kalsium dan
vitamin D yang secukupnya. Makanan tinggi kalsium seperti
susu, keju, dadih, ikan salmon, ikan sardin, ikan bilis dan
sayur-sayuran berdaun hijau.

Sumber vitamin D dari makanan adalah ikan salmon, ikan sardin,
kuning telur dan paling utama adalah cahaya matahari pagi.
Kita perlu mendedahkan kulit pada cahaya matahari pagi untuk
mendapatkan vitamin D secukupnya yang dihasilkan oleh kulit
apabila terdedah dengan cahaya matahari pagi.

Pengambilan makanan tambahan vitamin D juga boleh diamalkan.
Elakkan tabiat usus yang kurang sihat seperti sembelit. Didik
diri kita untuk membuang air besar setiap hari. Meminum air
secukupnya setiap hari sangat penting untuk mencegah sembelit.

Minum air ditapis juga sangat penting untuk mencegah kita
mengambil bahan-bahan toksin terlarut dalam air seperti
klorin, logam berat dan sebagainya. Makan makanan yang tinggi
serat seperti buah-buahan, sayur-sayuran, oat, beras perang
dan sebagainya.

Pemakanan yang rendah serat akan menyebabkan masalah sembelit
dan tabiat usus yang tidak sihat. Kajian menunjukkan tabiat
usus yang tidak sihat menyumbang kepada risiko kanser usus
yang tinggi.

Ini kerana seseorang yang menghadapi masalah sembelit
menyebabkan bahan karsinogen dalam makanan akan menyentuh
dan irritasi dinding usus berlaku dengan lebih lama dan
akhirnya mengakibatkan sel di dinding usus berubah menjadi
sel kanser.

Biasanya ia bermula dalam bentuk ketumbuhan kecil dipanggil
polip. Elak mengambil makanan proses yang tinggi dengan gula,
tepung gandum, pengawet, pewarna, perasa yang tinggi bahan
kimia proses.

Makanan proses mengganggu keasidan dalam usus yang menyebabkan
bakteria baik dalam usus tidak berkembang biak dengan baik.
Gangguan ketidakseimbangan bakteria dalam usus meningkatkan
risiko mendapat kanser usus.

Merokok juga meningkatkan risiko mendapat kanser, termasuk
kanser usus. Rokok mengandungi beribu-ribu jenis toksin dan
radikal bebas yang akan menyebabkan kanser.

Pelbagai kajian menunjukkan kaitan rapat antara tabiat merokok
dan risiko kanser yang lebih tinggi. Ini satu lagi motivasi
bagi perokok untuk meninggalkan tabiat buruk ini bagi
mengurangkan risiko mendapat kanser usus.

Meninggalkan minum arak juga mempunyai kesan sama menurunkan
risiko mendapat kanser usus. Bersenam dan aktif secara fizikal
dapat mengurangkan risiko mendapat kanser usus.

Kajian menunjukkan kaitan rapat antara masalah kegemukan dan
perut buncit dengan risiko kanser usus yang lebih tinggi.
Aktif secara fizikal dan bersenam akan membantu menurunkan
berat badan dan secara langsung menurunkan risiko mendapat
kanser usus.

Mencegah lebih baik daripada mengubati. Kanser usus bukan
penyakit yang mudah dirawat dan ia membabitkan banyak
perbelanjaan. Mengamalkan langkah pencegahan adalah cara
terbaik walaupun ia bukan jaminan 100 peratus.

hangtuahcutelegacy.blogspot.com
Norshahuddin Edited Dec 2014...^^..

No comments:

Post a Comment