Monday 15 December 2014

Kesedaran Dan Bahaya Kanser Payudara...^^..

Kesedaran Dan Bahaya Kanser Payudara...^^..

Memiliki payudara cantik dan sihat adalah anugerah yang tidak
ternilai dan sangat beruntung bagi mereka yang memilikinya.
Namun, bukan mudah mengekalkan kecantikan dan kesihatan
payudara kerana setiap wanita berisiko menghidap kanser
payudara dan ia menjadi ancaman utama sehingga mengundang
kematian.

Disebabkan anggapan payudara juga adalah lambang kewanitaan,
setiap wanita tanpa mengira usia dibayangi kebimbangan
mengenai bentuk payudara mereka apabila usia semakin
meningkat.

Ini kerana, wanita muda khuatir dengan saiz payudara sama ada
terlalu kecil atau terlalu besar, manakala wanita yang semakin
berusia pula runsing apabila payudara mula kendur dan tidak
sepejal ketika muda. Malah, segelintir wanita juga beranggapan
memberi susu badan kepada anak akan menjejaskan bentuk
payudara.

Sebagaimana tubuh berubah mengikut umur, bentuk dan keanjalan
payudara juga akan berubah sebaik wanita memasuki usia 20-an,
30-an, 40-an dan 50-an.

Bagaimanapun, wanita muda atau berusia sepatutnya lebih
mengutamakan kesihatan payudara dan bukan bentuk fizikalnya
berikutan ancaman utama kepada payudara adalah kanser
payudara, kanser paling banyak dihidapi golongan wanita
di Malaysia.

Peluang terbaik untuk mengubati kanser payudara ialah apabila
ia dikesan dan dirawat lebih awal. Justeru penting untuk
setiap wanita menanam kesedaran mengenai kesihatan payudara
dan menjaga bahagian tubuh berkenaan mengikut usia masing-
masing.

Pada usia 20-an, amalan penjagaan dilakukan wanita ketika ini
mampu mengurangkan risiko mendapat kanser payudara. Amalan
pertama, buat pemeriksaan klinikal payudara dan sentiasa peka
dengan keadaan payudara. Pemeriksaan klinikal payudara adalah
pemeriksaan fizikal yang dijalankan oleh mereka yang
profesional dalam perubatan.

Pemeriksaan sedemikian dan perbincangan bersama doktor
mengenai kesihatan keseluruhan dan faktor risiko mendapat
kanser terbabit secara peribadi adalah cara terbaik untuk
mengambil tahu apa yang normal dan tidak untuk mereka.

Pemeriksaan klinikal ini perlu dilakukan secara tahunan,
manakala pemeriksaan kendiri payudara dilakukan secara bulanan
bagi mengesan sebarang perubahan walaupun kecil dan segera
menemui doktor jika ada benjolan.

Wanita juga perlu tahu jika ada sejarah dalam keluarga mereka
yang pernah menghidap kanser payudara dan berbincang dengan
doktor bagi memahami risiko bakal dihadapi.

Mereka mungkin mempertimbangkan menjalani ujian mutasi gen
dikenali sebagai Breast Cancer Susceptibility Gene 1 (BRCA-1)
dan BRCA-2 yang berkaitan peningkatan risiko kanser payudara.

Ibu yang baru melahirkan anak juga wajar memberi susu badan
sekurang-kurangnya enam bulan berikutan beberapa kajian
mendapati menyusu badan boleh mengurangkan risiko kanser
payudara, terutama ibu yang menyusu badan selama setahun
setengah hingga dua tahun.

Kajian dikeluarkan Pusat Kajian Kanser Fred Hutchinson,
Amerika Syarikat menunjukkan menyusu badan selama enam bulan
atau lebih mengurangkan risiko kanser payudara sebanyak 20
peratus.

Selain itu, wanita pada usia 20-an perlu melakukan senaman
secara teratur sekurang-kurangnya 30 minit sehari sama ada
berjalan, berbasikal, joging, menari atau apa saja aktiviti
fizikal kerana ia juga mampu mengurangkan risiko kanser
payudara sebanyak 20 peratus.

Senaman adalah amalan yang bagus untuk kesihatan keseluruhan
membabitkan tulang, sendi dan jantung. Pengambilan makanan
seimbang juga perlu dititikberatkan pada usia ini sejajar
dengan senaman dilakukan.

Pada usia 30-an, memupuk kesedaran mengenai penjagaan
kesihatan payudara penting dilakukan. Walaupun kadar kanser
payudara pada wanita berusia 30-an masih rendah, ini masa
penting untuk memulakan penjagaan payudara.

Malah, pada usia ini masalah payudara berkait dengan
ketumbuhan bukan kanser. Wanita muda biasanya mengalami
penyakit fibrosistik yang menunjukkan gejala seperti kesakitan
payudara, sista dan benjolan bukan kanser.

Kesakitan pada payudara boleh datang sekali-sekala, dialami
ketika haid atau boleh juga menjadi tetap. Gangguan
fibroadenoma atau ketulan pada payudara juga boleh menjejaskan
wanita pada usia 30-an.

Ketulan membabitkan fibro dan tisu glandular yang bukan kanser
tetapi boleh menyakitkan. Jika ia mengganggu, benjolan itu
boleh dibuang.

Bagi meneruskan amalan penjagaan kesihatan yang dilakukan
ketika usia 20-an, beberapa lagi perkara boleh dipertimbangkan
seperti buat pemeriksaan klinikal payudara dan teruskan
pemeriksaan setahun sekali walaupun usia masuk 30-an.

Nilaikan risiko untuk merancang pelan tindakan. Jika berada
dalam kumpulan berisiko tinggi disebabkan sejarah keluarga,
doktor akan menyarankan pemeriksaan mamogram atau pengimejan
resonans magnet (MRI) setahun sekali.

Wanita berusia 30-an juga perlu bijak mengawal tekanan kerana
kajian terbaru pada wanita bawah usia 45 tahun mendapati
pendedahan kepada hidup yang penuh tekanan seperti mengalami
perceraian atau kematian bersangkut-paut dengan risiko kanser
payudara.

Bersikap ceria dan optimis mampu membangkitkan daya tahan
semula jadi menentang penderitaan. Walaupun bersikap gembira
tidak melindungi diri daripada kanser, berfikiran positif akan
membuatkan kita terus kekal melakukan semua amalan baik yang
dilakukan ketika usia 20-an yang menyumbang kepada gaya hidup
sihat.

Ketika menginjak usia 40-an, wanita perlu lebih prihatin
terhadap kesihatannya kerana ketika ini kadar kanser payudara
mula meningkat berdasarkan kajian yang menunjukkan satu
pertiga kanser payudara di Malaysia didiagnosis pada umur
40-an.

Pada usia ini, masalah berkaitan payudara paling kerap ditemui
adalah sista iaitu kantung dipenuhi cecair. Walaupun ia
sejenis ketulan bukan kanser, ia juga menyakitkan, namun
masalah ini boleh diselesaikan menerusi pembedahan.

Jangkitan pada lapisan kulit dan sel tidak normal yang muncul
pada kelenjar susu iaitu penyakit atypical ductal hyperplasia
juga boleh muncul pada usia ini dan meningkatkan potensi
mendapat kanser payudara.

Selain mengambil pemakanan seimbang, melakukan senaman dan
mengehadkan tekanan, penjagaan payudara pada usia ini
membabitkan membuat jadual pemeriksaan klinikal dan mamogram
tahunan. Wanita berusia 40 tahun ke atas wajar melakukan
pemeriksaan klinikal payudara dan mamogram setiap tahun.

Prihatin dengan keadaan payudara sendiri dan segera menemui
doktor jika ada sebarang keganjilan. Walaupun keganjilan pada
payudara membabitkan benjolan bukan kanser, wanita perlu
bersikap berhati-hati dan prihatin dengan keadaan payudara.

Elak terdedah kepada penyebab kanser seperti radiasi dan bahan
kimia. Beritahu pengamal perubatan yang melakukan sinaran X,
terutama berdos tinggi seperti imbasan tomografi berkomputer
(CT) jika pernah melakukan imbasan sedemikian.

Jika perlu melakukan imbasan sedemikian, tanya doktor jika ada
ujian alternatif seperti ultra bunyi atau MRI. Doktor akan
membantu anda menilai sama ada anda memerlukan imbasan
sedemikian atau tidak, bergantung kepada keperluan perubatan.

Pada usia 50 tahun ke atas, ketika menghampiri menopaus,
risiko mendapat kanser payudara terus meningkat dan disebabkan
itu wanita berusia 50 tahun ke atas perlu lebih waspada
mengenai kesihatan payudara.

Selepas putus haid, payudara menjadi kurang anjal, kurang
lembut dan kurang ada benjolan. Benjolan tidak berbahaya
muncul dan hilang seiring dengan kitaran haid pada wanita
muda, tetapi benjolan yang muncul ketika usia ini memerlukan
perhatian segera doktor.

Di samping meneruskan tabiat penjagaan payudara sebelum ini,
wanita berusia 50 tahun ke atas boleh melakukan beberapa
perkara untuk mengurangkan lagi risiko kanser payudara seperti
mengekalkan berat badan yang sihat.

Berat badan yang sihat membabitkan indeks jisim badan (BMI)
sebanyak 25 peratus atau kurang. Kajian menunjukkan berat
badan berlebihan atau obesiti, terutama wanita pada peringkat
pos menopaus, meningkatkan risiko kanser payudara.

Wanita dengan berat badan berlebihan mempunyai kadar rendah
bertahan dari kanser payudara dan peluang tinggi untuk
menghidap penyakit lebih agresif berbanding wanita dengan
berat badan biasa atau kurang berat.

Elak atau hadkan terapi penggantian hormon (HRT) kerana terapi
ini meningkatkan risiko kanser payudara walaupun pada wanita
yang mempunyai isu putus haid.

Penting menjaga payudara pada setiap dekad usia tanpa
mengambil kira saiz dan bentuk payudara. Memahami payudara
sendiri membantu anda lebih yakin jika wujud sebarang
keganjilan.

Perubahan seperti saiz atau bentuk, benjolan berbeza daripada
tisu payudara, perubahan pada tekstur kulit seperti kerutan,
bengkak pada ketiak atau tulang leher, sakit terus-menerus
pada payudara atau bawah lengan, kemerahan atau ruam pada
kulit atau sekitar puting, puting berubah kedudukan dan keluar
cairan dari puting tanpa memicitnya.

Peluang untuk pulih adalah lebih baik jika kanser payudara
dikesan dan dirawat di peringkat awal. Saiz kanser dan sejauh
mana ia merebak adalah faktor penting dalam meramal prognosis
pesakit.

Wanita yang mahu memulakan penjagaan kesihatan payudara mereka
tetapi kurang pengetahuan untuk melakukan apa yang perlu
diamalkan boleh berkunjung ke hospital.

hangtuahcutelegacy.blogspot.com
Norshahuddin Edited Dec 2014...^^..

No comments:

Post a Comment